Photobucket - Video and Image Hosting

Wednesday, July 15, 2009

buat insan yang sering kuguris pada malam sebelumnya dan 1001 satu malam yang pernah berlalu sebelumnya

hidup ini adalah pendakian takah bertakah dan tiada takah yang tidak pernah gagal ku takluki. namun hakikat dirimu tersergam sebegitu kejap di depan kedhaifan susukku.

dan semalam; dari rubu' ke rubu'
juzu' ke juzu'
tiada lain hanyalah rembesan lewat mata

aku akan menanggung arasy, sayang

Tuesday, July 14, 2009

seorang kekasih
bila terjatuh
dan sering terjatuh
seberapa kerapkah dibantu berdiri semula

seorang kekasih
bila melukakan
dan sering melukakan
seberapa kerapkah dibelai bila sedar dari mabuk darahnya

aku kekasih
yang dikasihi
luka-luka ini
tetap membangkitkanku
darah-darah yang kutumpah ini
tiada setitikpun
milik tubuhku

adalah sepatutnya kita
terus berlari
dan cuba untuk tidak jatuh
untuk terus hidup dan tidak membunuh
agar tetap dikasihi
sebagai kekasih yang
mengenang budi

Tuesday, May 12, 2009

ada seekor babi
namanya AKU

berjalan-jalan di perkarangan istana

"itu sahaja?"

apakah yang kau harapkan dari riwayat seekor babi
sedang tangan kau yang maha mulia tidak pernah mengusapnya
dan kalam mu yang karim tidak senafaspun pernah bertanya mana mula-sudahnya

selamat hari babi
hajatku berjahat

buraikanlah tali perut
limpa dan hati ini biar diinjak tarian nafsu
sehingga terasa naluri rimba

hajatku berjahat

agar kita menghargai
batas-batas kemuliaan ini
ada pintu-pintunya

bila terasa kemuliaan itu dilayan penonton buta
tukang sorang pekak, maka kuak oh kuak!

pintu-pintu kehinaan
namun pengundang perhatian
jingkrak sorak dan penghargaan

hajatku berjahat
tidakkah kau penat menulis aku
terputar-putar
terbelit-belit

kau bagai tidak jemu
menulis dan membaca putar belit mu

aku mulai bosan
menjadi bahan mainan dan tawamu

sudahilah kisah ini

walau aku tahu penat bukan sifatmu
anak-anak holocaust
15 minit penderitaan
bercakaran berpaut udara minta nyawa yang beransur pergi
tenang kemudian
dan aku cemburu

anak-anak palestin
musnah bersatukan bumi
dan serpih molotov dan mimpi-mimpimu
tenang kemudian
dan aku cemburu

anak-anak bodoh
seperti aku
menerawang seperti kertas-kertas sampah
dipijak diludah dan digilis kecelaruan manusia memburu mimpinya
tiada sejenak untuk tenang
tiada sejenak untuk cemburu

dan aku menanti
untuk menerawang lagi

dan jika Tuhan benar-benar peduli
biarlah dibakar mentari

walau aku tahu itu hanya mimpi
ini sujud-sujud sudah tiada maknanya
rukun ini namanya hanya kosong
sekosong bacaan
sekosong geraknya
tiada tumpu
dan tiada lalainya
tiada apa-apa

malaikat-malaikat gelisah
terbiasa menghantar ke syurga neraka
sudah tidak tahu mana letaknya aku dan sujud yang kosong begini

biarlah aku dimakan bumi
dan kita tak lain hanyalah bola-bola lantunan
yang rela ditendang bersaing mentari
yang ditimang dibiar tersadai di dasar selaput lumpur
lemas terapung tak peduli
biar puasa
yang penting
kita adalah bola-bola yang rela dibuat begini
saban hari...
terlalu sering kita merasakan bahawa Tuhan itu hanya mahukan kita untuk diriNya semata.